Rabu, 12 Februari 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » » JOAS Bantah Tindakan Polis Lepaskan Tembakan

JOAS Bantah Tindakan Polis Lepaskan Tembakan


KUALA LUMPUR – Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) membantah tindakan anggota polis kerana didakwa melepaskan tembakan ke udara semasa menangani bantahan sekumpulan Orang Asli di tapak pembinaan empangan Murum di Sarawak semalam.

Presidennya, Thomas Jalong mendakwa, anggota polis melepaskan tembakan hanya kerana mahu menyuraikan sekumpulan Orang Asli yang membina hadangan memasuki ke tapak pembinaan tersebut.

“JOAS turut membantah tindakan polis menangkap seorang lelaki Penan dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu. Kami menggesa polis melepaskan segera Ngang Buling.

“Dia ditahan di tapak pembinaan empangan Murum kerana mahu menghentikan takungan empangan. Orang Asli ini terdesak mendirikan sekatan demi melindungi tanah, wilayah dan sumber mereka,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Thomas menggesa pihak polis supaya mengawal tindakan mereka bila berdepan dengan Orang Asli yang tidak bersetuju dengan pembinaan empangan Murum.

Beliau dalam pada itu meminta Sarawak Energy Berhad (SEB) menghentikan penakungan empangan sehingga semua rundingan diselesaikan dengan cara yang baik dan semua perjanjian ditunaikan.

JOAS turut mengingatkan tanggungjawap kerajaan untuk memastikan kehidupan rakyat di kawasan itu selamat dan hak asasi manusia mereka dipertahankan.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan Sarawak Energy Berhad (SEB) memulakan proses penakungan di empangan RM4 bilion Murum di Ulu Belaga.

Tindakan itu diteruskan tanpa mengambil kira bantahan masyarakat Penan daripada enam kampung yang mengadakan hadangan ke tempat itu.

Penduduk Penan menuntut pampasan RM500,000 sekeluarga untuk kehilangan tanah dan kampung, tanah gantian 25 hektar untuk setiap keluarga, kawasan hutan 30,000 hektar, 10 peratus royalti daripada keuntungan empangan dan pemilikan untuk semua kawasan yang tidak ditenggelami air namun ditolak.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar